right_side

Labels

Bookmark and Share

  • Mod by : Gheragas
  • In: , ,

    Alangkah Hebatnya Tuhan

    Alangkah hebatnya Tuhan
    Di dalam satu kerdipan mata berbilion-bilion yang dicipta-Nya dengan serentak
    Di masa yang sama pula berbilion-bilion yang dibinasakan atau yang ditiadakan-Nya
    Di dalam satu kerdipan mata, berbilion-bilion secara serentak diketahui yang ada mahupun yang tiada
    Juga di masa yang sama dengan serentak berbilion-bilion perkara yang dilihat dan didengar-Nya
    Kudrat-Nya Esa sepertimana sifat-sifat yang lain juga Esa
    Kuasa membuat yang sedikit atau banyak, kecil atau besar sama sahaja
    Tidak ada beza kerana Tuhan itu Kudrat-Nya bukan tenaga
    Tapi Zat-Nya yang Maha Kuasa atau bersifat Kuasa
    Kerana itulah Tuhan tidak terasa penat atau letih
    Begitu juga Tuhan kehendak-Nya bukan dengan nafsu
    Kerana itulah kehendak-Nya tidak menerima jemu juga tidak terasa ghairah seperti manusia
    Dia berbuat atau tidak berbuat dengan kehendak-Nya yang penuh berhikmah
    Tidak ada yang sia-sia atau yang tidak mempunyai hikmah yang tersirat atau tersurat
    Apa yang terdahulu dan apa yang kemudian semua diketahui-Nya
    Tidak pernah dilupakan-Nya sekalipun sebesar debu di udara
    Murka-Nya bukan dengan nafsu
    Kerana Tuhan itu tidak ada nafsu seperti makhluk-Nya
    Suka-Nya atau cinta akan sesuatu bukan pula dengan perasaan-Nya
    Kerana Tuhan itu tidak ada jiwa
    Cinta-Nya pula mengikut kehendak dan hikmahnya
    Bukan didorong oleh keadaan
    Kerana keadaan dan situasi Tuhan yang mencipta-Nya
    Segala apa yang hendak dibuat atau tidak bukan hasil fikiran atau hasil menimbang-nimbang
    Kerana Tuhan bukan ada akal seperti manusia
    Kerana Kudrat dan Iradat-Nya berlaku adalah kerana kepatutan-Nya
    Dengan penuh hikmah dan pengajaran
    Begitulah Zat Tuhan yang Maha Agung
    Sungguh hebat dan menggerunkan

    In: , ,

    KRONOLOGI HIDUP RASULULLAH SAW

    بسم الله الرحمن الرحيم

    الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصره ووالاه

    1.0 BIOGRAFI

    Nama :

    Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam bin 'Abdullah bin 'Abdul Mutalib bin Hasyim bin 'Abdul Manaf bin Qusai bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Lu'ai bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin Nadr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma'ad bin 'Adnan.

    Bapa :

    Abdullah bin Abdul Mutalib

    Ibu :

    Aminah binti Wahab bin 'Abdul Manaf bin Zuhrah bin Kilab

    Tarikh lahir :

    Isnin, 12 Rabi'ul Awal Tahun Gajah (pendapat masyhur). Pendapat yang rajih pada 9 Rabi'ul Awal Tahun Gajah bersamaan 20 April 571 Masihi.

    Status :

    Anak yatim, kematian bapa semasa 2 bulan dalam kandungan. Ibunya wafat semasa berumur 6 tahun.

    Isteri-isteri :

    1. Khadijah binti Khuwailid Radhiallahu 'Anha
    2. Saudah binti Zam'ah Radhiallahu 'Anha
    3. 'Aisyah binti Abu Bakar Radhiallahu 'Anhuma
    4. Hafsah binti Umar Radhiallahu 'Anhuma
    5. Zainab binti Khuzaimah Radhiallahu 'Anha
    6. Ummu Salamah, Hindun binti Abu Umayyah Radhiallahu 'Anha
    7. Zainab binti Jahsy Radhiallahu 'Anha
    8. Juwairiyah binti Harith Radhiallahu 'Anha
    9. Ummu Habibah, Ramlah binti Abu Sufyan Radhiallahu 'Anhuma
    10. Shafiyyah binti Huyai bin Akhtab Radhiallahu 'Anha (Banu Nadir keturunan Nabi Harun)
    11. Maimunah binti Harith Radhiallahu 'Anha

    · Semua isteri Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam janda semasa dikahwini kecuali Aisyah Radhiallahu 'Anha.

    · Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam meninggalkan 9 orang isteri setelah kewafatannya.

    Surriyyah [1] : (Hamba yang disediakan tempat kediaman untuknya. Mukhtar Al-Sihah.)

    1. Mariah binti Syam'uun Radhiallahu 'Anha (Hadiah raja Mesir, Muqauqis)
    2. Raihanah binti Zaid Radhiallahu 'Anha (Tawanan perang yang masuk Islam, dibebaskan dan berkahwin dengan Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam, dari Banu Nadhir)

    Zuriat :

    1. Qasim Radhiallahu 'Anhu (menyebabkan baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam digelar Abul Qasim)
    2. Zainab Radhiallahu 'Anha
    3. Ruqayyah Radhiallahu 'Anha
    4. Ummu Kalthum Radhiallahu 'Anha
    5. Fatimah Radhiallahu 'Anha
    6. Abdullah Radhiallahu 'Anhu (digelar sebagai at-Taiyib dan at-Tahir)
    7. Ibrahim Radhiallahu 'Anhu.

    * Semuanya daripada Khadijah Radhiallahu 'Anha kecuali Ibrahim Radhiallahu 'Anhu daripada Mariah Al-Qibtiyyah Radhiallahu 'Anha.
    * Semua anak-anak Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam wafat sewaktu hayat baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam kecuali Fatimah Radhiallahu 'Anhu.
    * Semua anak lelaki wafat sewaktu kecil lagi.

    In: ,

    Aidil Fitri Mengembalikan Kemanusiaan

    APA Maksud Allah Memerintahkan Kita Berpuasa Selama Sebulan Pada Setiap Tahun?

    Merujuk kepada Al-Quran, tujuan berpuasa adalah untuk bertaqwa. Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 183, ertinya;“ Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagai mana yang diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa”

    Berpuasa rupa-rupanya boleh mengakibatkan seseorang hamba Allah bertaqwa kepada Tuhannya yakni bilamana Ramadhan dilalui dengan tepat dan penuh penghayatan. Kalau bukan caranya, berpuasa di bulan Ramadhan hanya menghasilkan lapar, dahaga dan keletihan sahaja, sia-sia.

    Dalam setahun kita telah melalui berbagai-bagai cabaran hidup yang boleh merosakkan ketaqwaan kita kepada ALLAH. Bila manusia tidak bertaqwa, mereka akan hilang wibawa dan kemanusiaan. Manusia menzalim, menindas, menipu, mementingkan diri, jatuh menjatuhkan , hasad dengki, pemarah, takabur, bakhil, berdendam dan lain- lain. Masyarakat manusia tidak lagi berkasih sayang, bekerjasama., bertolak ansur dan bertolong bantu. Sebaliknya akan berebut-rebut, berkrisis, bertelagah dan berperang. Peperangan antara suami isteri, anak dengan ibubapa, murid dengan guru, buruh dan majikan, rakyat dengan pemimpin dan lain-lain. Manusia hilang kemanusiaan. Masyarakat manusia tidak berwatak manusia lagi! Bertukar kepada watak syaitan dan haiwan.

    Allah SWT yang Maha Adil lagi Bijaksana, yang menjadikan manusia , tahu di mana kekuatan dan kelemahannya, tahu bagaimana menguatkan yang lemah, menyuburkan yang kuat, tahu punca kekuatan dan kelemahan, telah memilih sebulan Ramadhan untuk jadi ubat kepada setahun penyakit. Berpuasa dan ibadah-ibadah tambahan Ramadhan itu mampu menyelesaikan masalah-masalah selama setahun. Umpama kereta yang letih dan lemah setelah setahun digunakan , overhaul sebulan cukup untuk sihat semula. Ya, Ramadhan datang untuk overhaul manusia supaya dapatkan kemanusiaan semula.

    Rugilah orang-orang yang gagal menjadikan ibadah-ibadah Ramadhan untuk membaik pulih kemanusiaan mereka. Macam ruginya orang yang diberi kereta tapi tidak pandai mengguna atau tersalah guna.

    B. Bagaimana Ramadhan Overhaul Hati Manusia?

    Terdapat pakej ibadah yang cukup hebat dan berkesan, kuat menguat satu sama lain, supaya manusia dibaik pulihkan sepanjang Ramadhan . Allahlah yang punya pakej ini Maha pakar dalam merawat jiwa, fikiran dan fizikal manusia supaya kembali suci sesuci fitrah semulajadinya. Pakej itu ialah ibadah puasa, terawih, baca Quran, zikir, tasbih, paling asas adalah mujahadah untuk melawan nafsu. Seseorang yang sanggup melakukan keseluruhan pakej ibadah ini dengan serius dan penghayatan, sungguh akan memperolehi satu kekuatan roh, mental dan fizikal untuk meneruskan perjuangan sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi. Membawa bersamanya segala sifat-sifat baik seorang manusia seperti merendah diri, pemurah, berkasih-sayang terutama dengan orang miskin dan susah, tawakkal, sabar, tenang, adil, berbaik sangka, sanggup meminta maaf dan memberi maaf, bertolak ansur, jujur, mementingkan orang lain dan lain-lain. Kalau ada manusia begini, dimuka bumi ini dan tentunya ada, ketahuilah bahawa pada merekalah Allah akan pusakakan bumi ini untuk ditadbir. Sebab Allah berjanji untuk menutup bumi ini dengan keadilan oleh orang-orang yang mereka itu cintakan Allah dan Allah juga cintakan mereka.

    C. Bagaimana Ibadah Memproses Ketaqwaan Manusia

    Allah jadikan manusia makhluk yang wajib berusaha dan berikhtiar untuk berjaya dalam apa juga bidang. Kejayaan tidak jadi sendiri kepada manusia. Manusia perlu bertarung, berjuang untuk kejayaan besar mereka. Nelayan mengharungi gelombang laut, petani melawan panas terik, ibu bertarung dengan kesusahan melahirkan anak, bapa tercabar dalam melakukan tanggung jawab pada keluarga, guru berhadapan dengan ragam murid, pemimpin paling teruk berhadapan dengan 1001 jenis kesusahan dalam kepimpinan. Untuk mengalahkan nafsu dan syaitan, Allah mewajibkan peperangan yang paling besar dan dahsyat yang tak dapat dilihat oleh mata kerana ia bersifat rohani dan maknawi. Hanya orang yang mampu melepasi halangan-halangan nafsu sahaja yang layak mendapatkan taqwa. Ketaqwaan adalah sijil atau ukuran paling mulia untuk seseorang manusia menjadi sesempurna manusia . Tanpa taqwa, PhD, harta, pangkat tidak menjamin manusia dapat dikembalikan kepada kemuliaan yakni kemanusiaannya. Orang kaya, berpangkat dan berijazah tapi yang bertuhankan hawa nafsu akan jadi sejahat-jahat manusia sedangkan dengan taqwa, orang miskin pun jadi mulia apa lagi kalau orang kaya yang bertaqwa!

    Sebab itulah saya katakan ibadah paling asas dalam pakej Ramadhan ialah mujahadah terhadap nafsu. Yakni usaha-usaha memaksa diri sendiri untuk melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangannya. Mujahadah ialah sanggup menyiksa diri sendiri dalam usaha untuk menunaikan perintah-perintah Allah kerana kebaikan yang diperintahkan bertentangan dengan kehendak nafsu liar dalam diri. Contoh, untuk berkasih sayang seperti yang Allah Taala perintahkan, seseorang sanggup menelan marahnya pada seseorang dengan penuh sabar. Tahan marah dan sabar itu sungguh menyiksakan . Orang-orang yang tahu selok beloknya sahaja yang boleh melakukan dengan pertolongan Allah. Mujahadah memang menjemukan, nafsu benci dan meletihkan . Siapa sanggup tersiksa atas cita-citanya? Hanyalah orang yang berjiwa besar. Sebab letih fizikal boleh rehat, tapi perang dengan nafsu tak boleh rehat-rehat. Kalau rehat nafsu lagi manja dan mengada-ngada. Perang yang tak rehat-rehat inilah dikatakan perang paling berat dan dahsyat.

    Terdapat tiga pemangkin yang Allah sediakan untuk mendorong mujahadah ini di Bulan Ramadhan iaitu:

    1. Puasa yang dihayati
    2. Sembahyang yang khusyuk
    3. Baca Quran yang dijiwai

    Puasa yang dihayati akan menjadi pendorong / pemangkin mujahadah melawan hawa nafsu kerana puasa itu akan menimbulkan keinsafan, kesedaran, rasa timbang rasa, rasa lemah dan rasa hamba seorang hamba Allah. Orang yang berpuasa dapat menangisi golongan susah dan miskin. Orang miskin terus lapar tanpa tahu pasti bila waktu berbuka. Buruh-buruh terus letih sampai bila-bila tanpa tahu bila sebenarnya mereka boleh rehat dan holiday. Bilamana rasa-rasa itu menguasai diri seseorang pasti akan membunuh nafsu-nafsu yang suka kepada kejahatan dan melanggar perintah Tuhan seperti rasa tamak dan sombong orang kaya terhadap orang miskin.

    Sembahyang yang khusyuk adalah rahsia kemenangan. Kemenangan seseorang terhadap musuh utama dalam hidupnya iaitu nafsu dan syaitan. Sembahyang itu adalah sebesar-besar atau seagung-agung projek yang menjamin kekayaan manusia paling utama. Yakni sembahyang dapat membina dan menebalkan rasa-rasa yang amat diperlukan oleh seseorang hamba yakni rasa kehambaan dan rasa bertuhan. Rasa yang mampu menghalau dan memusnahkan nafsu yang jahat yang menjadikan manusia paling berguna pada manusia yang lain. Kalau bukan sembahyang apakah langkah lain untuk manusia memperolehi modal-modal hidup rohaniah yang amat diperlukan itu?

    Baca Quran yang dijiwai sesungguhnya akan menemukan khabar gembira, ada amaran, suri teladan, kesedaran dan keinsafan . Pemikiran yang agung, global dan praktikal hanya dan hanya oleh Al Quran. Membacanya di bulan Ramadhan, ertinya membangunkan suatu pemangkin yang cukup kuat untuk mengalahkan nafsu dan pengaruh syaitan dalam diri manusia. Bila nafsu kehaiwanan dapat dikalahkan, manusia akan mendapatkan kemanusiaannya semula. Masyarakat kita akan berwibawa semula! Ibadah tambahan lainnya akan jadi ringan untuk dilaksanakan dan akan membuahkan akhlak yang luar biasa.

    D. Pengertian Dan Pengisian Idilfitri Secara Islam.

    Allah SWT memerintahkan puasa Ramadhan adalah semata-mata untuk bertaqwa kepadaNya. Yakni dengan melakukan overhaul dan baik pulih kepada jiwa, fikiran dan fizikal. Secara umum hanya sedikit manusia yang berjaya tapi ramai yang gagal. Sepatutnya bila tiba sahaja bulan Syawal yakni penutup Ramadhan, ramailah orang yang bersedih kerana tidak lulus periksa. Sedih sebab sombongnya masih di size XL . Pemarahnya tak kurang-kurang, kedekut menjadi-jadi, hasad dengki terus bermaharajalela, gila dunia, buruk sangka, berbangga diri, salah guna kuasa, dendam, lalai dengan Allah, cuai dengan sunnah dan lain-lain terus merajai hati. Ertinya dia akan terus mendurhakai Allah dengan segala perangai buruknya. Idil fitri tidak ada apa-apa erti baginya kerana markahnya kosong atau minus.

    Puasa tidak mampu membakar atau mencabut semua itu. Sedihnya hati, kemanusiaan punah, nafsu beraja di hati, di fikiran dan fizikal. Hari Idul fitri yang bermaksud hari mengembalikan perasaan-perasaan yang suci murni, hanyalah untuk orang-orang yang berjaya di bulan Ramadhan. (Adalah menjadi satu kesalahan besar mentafsirkan Idilfitri sebagai Hari Raya) kerana ia sebenarnya bermaksud hari mengembalikan manusia kepada fitrah murninya atau kemanusiaannya. Bagi orang-orang yang gagal mengembalikan fitrah sucinya di bulan Ramadhan, Syawal baginya menambah jahat hatinya. Hikmah Ramadhan musnah sama sekali. Macam orang sakit tersalah makan ubat, akibatnya bukannya sembuh tapi sakit bertambah. Ubat itu mendatangkan penyakit lagi.

    Pada hari Idul Fitri ini pengisian sebenarnya ialah untuk melaksanakan kemanusiaan yang tinggi kepada sesama manusia. Berkasih sayang antara si kaya dan si miskin. Mereka akan maafkan segala kesalahan orang pada mereka, sanggup pula meminta maaf atas kesalahan-kesalahan, mereka akan bela orang-orang yang teraniaya, orang yang dizalimi, orang yang menderita, orang-orang cacat, orang-orang musafir, orang-orang tua, anak-anak yatim dan ibu tunggal, orang-orang yang berhutang ditolong bayarkan hutangnya. Andartu juga akan dapat pembelaan. Petani, nelayan, buruh-buruh kasar, penoreh getah, peneroka diberi penghargaan sesuai dengan jasa besar mereka kepada negara.

    Tiada petani tidak makan nasilah kita. Tiada nelayan tidak makan lauklah kita. Tidak ada buruh tidak adalah rumah dan kereta. Tidak ada pekerja kilang tidak berpakaianlah kita. Tiada guru tidak belajarlah anak kita. Tiada polis dan tentera boloslah keselamatan. Sepatutnya golongan ini semua setaraf sahaja hidup mereka dengan pegawai-pegawai kerajaan. Sumbangan mereka sama besarnya dengan pejuang-pejuang bangsa yang lainnya. Inilah kemanusiaann namanya. Adanya dalam diri membuatkan manusia mengorbankan diri untuk kepentingan orang lain. Sesuai dengan arahan Rasulullah SAW ;

    “ Sebaik-baik manusia ialah yang banyak berbuat baik kepada manusia ”

    Itulah hikmah Ramadhan. Overhaul-nya mencabut kepentingan diri dari dada-dada manusia. Menjadikan Idil Fitri bukan lagi pesta-pesta tapi ialah hari keinsafan, hari manusia berkhidmat pada manusia lain. Semangat Ramadhan ini biasanya tahan untuk setahun. Sehingga Ramadhan akan datang overhaul-nya akan mencahayakan lagi kemanusiaan manusia hingga jadilah mereka manusia ‘super’ yang Allah akan bersama mereka untuk membina empire Islam di dunia.

    Tapi bagi orang awam semangat Ramadhan pupus sebelum setahun. Menjadikan Ramadhan berikutnya hanya untuk mencuci karat-karat mazmumahnya sahaja. Itupun belum tahu berjaya. Marilah kita mencuba. Moga-moga Allah tidak sia-siakan kita.

    Ya Allah, kekotoran fitrah kami ini siapalah yang mampu membersihkannya, selain Dikau? Pada siapa kami hendak adukan kegagalan puasa ini kalau tidak padaMu? Wahai Tuhan, kurayu sepenuh hati agar sudilah Dikau memasukkan namaku dalam senarai orang berjaya pada Ramadhan ini, dengan rahmatMU.
    Amin Ya Allah

    Search This Blog