APAKAH KAEDAH UNTUK MEMBAIKI GOLONGAN MILITAN?
Biasanya tuduhan militan itu ditujukan kepada kelompok atau puak yang belum mendapat kuasa. Mereka itu mungkin ada cita-cita untuk menumbangkan kerajaannya. Sekiranya kerajaan tersebut berlaku kasar terhadap mereka dengan menggunakan kuasa polis dan tentera, ini tidak boleh dikatakan militan terutama kalau tujuannya ialah untuk menjaga keselamatan rakyat dan negara. Tetapi apabila sesuatu kerajaan itu menggunakan kuasa polis dan tentera lebih daripada hadnya atau bertindak kerana tidak suka kepada sesuatu puak atau kelompok walaupun mereka tidak militan, ataupun mereka sengaja dituduh militan supaya boleh ditindak dan ditekan, ini juga tidak boleh dikatakan militan tetapi zalim atau menyalahguna kuasa.
Militan tidak semestinya salah, jahat atau negatif. Kalau sesuatu puak itu diserang dan dizalimi dan puak tersebut bertindakbalas secara bersenjata untuk mempertahankan diri dan haknya, itu adalah tindakan militan yang dibolehkan.
Dunia hari ini sibuk memperkatakan tentang militan. Di sesetengah negara, pemimpin-pemimpin mereka sampai pening-pening kepala memikirkan tentang militan ini. Lebih-lebih lagi setelah berlakunya peristiwa 11 September yang lalu, soal militan ini tambah dipandang serius oleh dunia, tidak kira dunia Islam mahupun dunia bukan Islam. Hingga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pun membincangkannya.
Yang sebenarnya, bukan hanya isu militan ini sahaja yang dihadapi oleh dunia pada waktu ini. Berbagai-bagai isu lain turut mengancam dunia. Tetapi oleh sebab isu militan ini lebih bahaya dan lebih menakutkan, itu sebab ia diberi lebih perhatian oleh dunia.
Tambahan pada itu, masalah militan ini membawa satu dimensi baru yang sangat mencabar para pemimpin dunia. Disamping ianya bahaya dan menakutkan, ianya juga rumit dan berat untuk diselesaikan. Kerana para militan ini ialah orang-orang yang berani mati. Orang-orang yang memang hendak mati. Mereka ini rela membunuh diri. Kalau diri sendiri pun sanggup dibunuh, membunuh orang lain senang sahaja.
Kalau para militan ini tak berani mati, lebih-lebih lagi kalau mereka takut mati, tak apa juga. Banyak perkara boleh diusahakan untuk mencegah kegiatan mereka, untuk menghalang, mengancam dan menakutkan mereka. Tapi kalau matipun mereka sudah tidak takut, apa benda lagi dalam dunia ini yang boleh menakutkan mereka? Bukankah mati itu perkara yang paling dibenci dan ditakuti oleh manusia. Oleh itu para militan ini tidak makan saman. Tidak takut diugut. Tidak takut diancam. Tidak takut dihukum. Tidak takut dibunuh dan tidak makan suap. Dalam ertikata yang lain, mereka ini tidak mudah hendak dibendung. Bagaimana hendak menghadapi manusia yang berani mati ini? Inilah perkara yang merisaukan dan memeningkan kepala para pemimpin dunia.
Dunia hari ini hendak mengugut manusia dengan undang-undang dan hukuman. Tetapi kalau manusia sudah berani mati, diugut dengan hukuman apapun tidak ada makna apa-apa. Kalau hukuman pun sudah tidak memberi apa-apa makna, apa ertinya undang-undang. Bukankah kekuatan undang-undang itu terletak pada hukumannya.
Nyatalah bahawa hendak membaiki, mengawal dan membendung manusia termasuk golongan yang militan ini dengan undang-undang dan hukuman sudah tidak berkesan. Kalau begitu, apakah kaedah yang terbaik untuk membaiki golongan militan ini? Mesti ada kaedah. Mesti ada ubat. Mesti ada jalan penyelesaian.
Jalan ahli fikir dan ahli filasuf yang digunakan selama ini sudah menemui jalan buntu. Ia jelas tidak mampu lagi untuk menangani masalah ini. Malahan bukan sahaja ia tidak mampu, bahkan semakin lama ia semakin memburukkan keadaan dan membuatkan masalah ini bertambah serius dan rumit. Tidak ada jalan lain, melainkan kembali kepada jalan dan cara yang telah ditunjukkan oleh para Rasul.
Manusia perlu diajak mengenali Tuhan. Bukan sekadar percaya sahaja tetapi mengenali Tuhan. Ramai manusia tidak kira apa bangsa percaya Tuhan itu ada tetapi mereka tidak merasakan begitu. Mereka tidak rasa dan tidak perasan bahawa Tuhan itu ada. Mereka tidak merasakan bahawa Tuhan itu ada peranan dalam hidup mereka. Mereka hanya tahu dan percaya. Manusia sudah tidak pedulikan Tuhan lagi. Mereka rasakan Tuhan sudah tidak relevan lagi dalam hidup mereka. Mereka sudah lupa Tuhan. Mereka sudah kehilangan Tuhan. Hakikatnya, ada atau tidak Tuhan itu, sama sahaja kesannya pada mereka.
Bila kenal Tuhan barulah jiwa hidup. Barulah hati dapat merasakan Tuhan itu berkuasa, menghidupkan, mematikan, menghukum, memerhati, melihat, menjaga, melindung, memelihara, memberi nikmat, memberi rahmat dan mendatangkan nikmah (bala). Barulah hati dapat merasakan bahawa Tuhanlah yang mewujudkan dunia ini. Tidak ada satu habuk pun yang tidak ada campurtangan Tuhan.
Kuasa Tuhan, bila Dia kata jadi – maka jadilah. Bila Dia kata hidup – hiduplah. Bila Dia kata mati – matilah. Bila Dia kata sihat – sihatlah. Bila Dia kata sakit – sakitlah. Itulah dia, Tuhan yang mencipta langit dan bumi dan juga manusia. Bila rasa-rasa ini dihayati, manusia akan cinta dan takut kepadaNya.
Itu baru sedikit sifat-sifat yang ada pada Tuhan. Padahal sifat-sifat kesempurnaan Tuhan itu tidak terhingga banyaknya. Kalau hati-hati manusia sudah begitu sekali dapat merasakan kehebatan Tuhan, baru akan datang rasa cinta dan takut. Hendak buat sekecil-kecil perkara pun, dia akan tanya Tuhan. Inilah ubat pertama dan utama kepada penyakit-penyakit yang dihadapi oleh manusia. Soal-undang-undang, peraturan dan hukuman jatuh nombor dua.
Kalau manusia sudah cinta dan takutkan Tuhan, manusia tidak akan berani lagi melakukan perkara-perkara yang negatif dan menyusahkan. Kalau ada Tuhan, orang kafir pun akan jadi baik. Setidak-tidaknya di dunia.Orang yang berani mati yang sudah tidak takut lagi dengan ancaman dunia pun akan berubah bila berhadapan dengan rasa takut dengan Tuhan dan ancaman akhirat. Undang-undang dan peraturan bukan tidak perlu. Itu jalan terakhir. Ia hanya sesuai untuk mengawal manusia yang sudah rosak fitrah mereka dan sudah terlalu jahat hingga tidak terkesan lagi dengan Tuhan.
Oleh itu, salah sekalilah konsep mendidik dan membaiki manusia hanya dengan undang-undang dan peraturan. Undang-undang dan peraturan manusia sendiri yang buat. Orang yang membuat undang-undang itu pun banyak buat kesalahan. Yang mempunyai kuasa pun jahat. Mana boleh orang jahat mendidik orang lain jadi baik. Mana boleh orang yang sesat jalan menunjukkan jalan yang betul pada orang lain.
Kalau rujuk dengan Tuhan, Tuhan akan bersama kita. Rakyat dan orang-orang besar, Tuhan yang jadikan. Kalau rakyat takut, orang-orang besar juga akan takut. Akhirnya orang kecil dan orang besar sama-sama takutkan Tuhan. Inilah jalan keselamatan, kedamaian dan keharmonian buat manusia.
Kalau begitu, dunia hari ini perlu mempromosikan Tuhan. Supaya manusia cinta dan takut padaNya. Inilah formula yang paling berkesan yang boleh menyelesaikan segala masalah manusia dan masyarakat.
Siapakah pula yang akan mempromosikan Tuhan? Yang akan membawa manusia kepada Tuhan? Tentulah orang Tuhan. Tentulah orang yang kenal Tuhan, yang ada rasa bertuhan dan yang cinta dan takut dengan Tuhan. Kerana manusia ini , sama ada baik atau jahat adalah hasil dari didikan, ilmu dan pimpinan. Manusia tidak akan dapat menghayati sesuatu perkara kecuali melalui pendidikan. Memperbaiki manusia mesti melalui pendidikan.
Dalam soal pendidikan ini pula, memang sudah menjadi fitrah semulajadi manusia, kalau orang yang mendidik itu tidak ada wibawa, pendidikannya tidak akan efektif dan tidak akan memberi kesan. Orang akan ambil ilmunya tetapi ilmu itu tidak akan dihayati. Orang boleh belajar darinya tapi dia tidak dihormati. Dia tidak dicontohi. Mendidik orang mesti ada wibawa. Pemimpin yang hendak mengajak manusia supaya cinta dan takut dengan Tuhan mesti terlebih dahulu cinta dan takut dengan Tuhan. Dia mesti mempunyai wibawa yang tinggi. Barulah ilmu yang diajarnya boleh dihayati.
Orang yang hendak memimpin manusia mesti ada wibawa. Dalam ertikata yang lain, dia mesti ada akhlak. Dia mesti bersifat adil, berkasih sayang, pemurah, mengutamakan orang lain, tidak mementingkan diri, tidak memikirkan kroni dan tidak zalim. Kalau ciri-ciri ini tidak ada, dia tidak ada wibawa. Pimpinannya tidak berkesan. Cakapnya tidak didengar orang. Dia tidak dihormati. Orang dengar tapi tak ikut. Pemimpin yang tidak ada wibawa, ajarannya, walaupun baik tidak memberi kesan apa-apa. Kalau mereka memimpin golongan yang militan, lagi-lagilah golongan ini akan dengki, benci dan sakit hati pada mereka. Mereka akan ditolak. Kalau golongan militan sudah rasa begitu, siapa lagi yang akan mendidik dan memperbaiki mereka?
Dalam dunia ini para pemimpin jangan fikir hendak memperbaiki rakyat sahaja. Jangan fikir masalah militan sahaja. Mereka mesti perbaiki diri. Kadang-kadang sedar atau tidak, pemimpin yang jahatlah yang menyumbang kepada manusia menjadi jahat. Sebab itu kalau rakyat sudah jadi jahat, para pemimpin mesti muhasabah diri masing-masing. Rakyat itu adalah bayangan pemimpin.
Kalau pemimpin sudah jahat, macam mana hendak didik rakyat. Mana mungkin orang jahat boleh mendidik orang lain jadi baik. Tambahan lagi, siapa pula nanti yang akan mendidik para pemimpin yang jahat ini.
Manusia, tidak kira apa bangsa, mesti berdoa banyak-banyak kepada Tuhan, supaya Tuhan tunjukkan kita pemimpin yang ada rasa bertuhan, yang cinta dan takut dengan Tuhan, yang ada wibawa, yang orang ramai hormati, bahkan yang para pemimpin pun hormati. Pemimpin seperti inilah sebenarnya yang layak memimpin rakyat dan para pemimpin. Ketika itu barulah masalah dunia akan selesai.
Seperti apa yang berlaku kepada kaum Yahudi di zaman Nabi Allah Samuel. Mereka ditekan dan dizalimi oleh penguasa Rom. Di kala itu mereka tidak mempunyai seorang pemimpin yang layak dan cukup berwibawa untuk memimpin dan menyelamatkan mereka. Maka pembesar-pembesar kaum Yahudi tersebut bersepakat berjumpa Nabi Samuel dan meminta beliau mendoakan supaya Tuhan menunjukkan seorang pemimpin di kalangan mereka. Nabi Samuel pun mendoakan.
Tuhan melantik Tholut. Tholut bukan seorang bangsawan. Dia bukan seorang pembesar. Dia bukan seorang pendita atau seorang yang terpelajar. Dia juga tidak kaya. Dia hanya seorang petani yang bertani di hujung kampung yang terpencil dan tidak dikenali orang. Dialah pilihan Tuhan. Ini mengejut dan mengecewakan golongan bangsawan dan pembesar kaum Yahudi tersebut. Mereka sangka Tuhan akan pilih seorang pemimpin di kalangan mereka. Tetapi bagi Tuhan, kriteria seorang pemimpin bukan darjat, bukan status, bukan kekayaan, bukan semata-mata ilmu, bukan pengaruh dan bukan kedudukan. Tholut dipilih kerana dia seorang yang bertaqwa, yang kenal Tuhan dan yang cinta dan takut dengan Tuhan. Dia berwibawa dan berakhlak tinggi. Dia mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat kepimpinan yang tidak ada di kalangan para pembesar dan para bangsawan kaum Yahudi berkenaan.
This entry was posted on 3/28/2008
and is filed under
Info
,
Islam
.
You can follow any responses to this entry through
the RSS 2.0 feed.
You can leave a response,
or trackback from your own site.
0 comments:
Post a Comment