Taubat Palsu
Manusia memang tidak boleh terlepas daripada berbuat dosa. Kalau tidak dosa terang-terangan, kita terlibat dengan dosa-dosa yang tersembunyi. Kalau tidak dosa lahir, kita terlibat dengan dosa-dosa batin. Kalau tidak dosa yang kita sedar, kita terlibat dengan dosa-dosa yang kita tidak sedar. Kalau tidak dosa-dosa besar, kita terlibat dengan dosa-dosa kecil.
Dosa-dosa kecil ini pula, kalau kita kekalkan dan kita anggap ianya kecil, ia menjadi dosa besar. Kecualilah bagi para rasul dan nabi yang maksum, yang dosa-dosa mereka itu telah sedia diampunkan oleh Tuhan.
Dosa berlaku bila kita berbuat maksiat dan kemungkaran, dan bila kita melanggar perintah Tuhan sama ada kita tinggal apa yang Tuhan wajibkan ataupun kita buat apa yang Tuhan haramkan.
Maksiat dan kemungkaran ialah pintu manusia terkeluar dari rahmat dan kasih sayang Tuhan. Pintu untuk kembali kepada rahmat dan kasih sayang Tuhan ialah Taubat. Taubat ialah satu anugerah Tuhan kepada manusia supaya manusia yang terbuat salah dan dosa, tidak berputus asa. Taubat adalah jalan bagi mereka menyucikan diri dan kembali semula kepada Tuhan.
Kaedah bertaubat berbeza-beza dari umat ke umat. Bangsa Yahudi yang menjadi pengikut para Nabi dan Rasul yang terdahulu terpaksa membunuh diri sebagai syarat untuk bertaubat dari dosa-dosa besar. Untuk bertaubat, mereka perlu keluar pada malam yang gelap-gelita di tempat yang sunyi dan menikam diri mereka hingga mati. Mati itulah syarat taubat mereka diterima Tuhan. Justeru itu, tidak ramai yang sanggup bertaubat kerana syaratnya terlalu berat. Hanya mereka yang betul-betul menyesal sahaja yang sanggup berbuat demikian.
Bagi kita orang Islam dan umat Rasulullah, cara untuk bertaubat sangat mudah. Inilah sebahagian dari rahmat dan berkat Rasulullah. Syaratnya hanyalah:
* Menyesal
* Berhenti dari berbuat maksiat berkenaan
* Berazam jangan diulangi lagi
* Kalau dosa itu melibatkan orang lain, kena minta ampun dari orang tersebut terlebih dahulu
Oleh itu, ramailah orang-orang Islam yang bertaubat kerana syaratnya sangat ringan dan mudah. Hari-hari orang Islam bertaubat. Ada yang bertaubat berpuluh-puluh, beratus-ratus bahkan beribu-ribu kali seumur hidup mereka. Ini sangat berbeza dengan bangsa Yahudi di zaman dahulu. Mereka hanya boleh bertaubat sekali sahaja dalam hidup mereka kerana apabila sudah bertaubat mereka terpaksa membunuh diri. Inilah juga punca kedengkian dan sakit hati para Iblis dan Syaitan terhadap umat Rasulullah.
Sebegitu kerasnya mereka berusaha sepanjang masa tanpa rehat untuk menipu, menyesatkan dan menjerumuskan umat Rasulullah ini ke dalam kancah maksiat dan kemungkaran, semua dosa itu akan terhapus hanya dengan sekali taubat sahaja. Justeru itu, sebegitu ramai umat yang iblis dan syaitan telah jauhkan dari rahmat dan kasih sayang Tuhan, seramai itu pula yang kembali kepada Tuhan dengan bertaubat. Kerana taubat itu dipermudahkan bagi umat Rasulullah.
Namun, walaupun bertaubat itu mudah, di pintu taubat itulah iblis menunggu untuk menipu kita supaya taubat kita tidak diterima Tuhan. Bahkan dia sentiasa berusaha supaya taubat kita bukan sahaja tidak diterima Tuhan malahan akan menjauhkan lagi kita dengan Tuhan. Apabila kita bertaubat dengan penuh penyesalan, digalakkannya lagi dan didorong-dorongnya hingga kita terasa di hati kita yang dosa kita telah terhapus. Hingga kita terasa sudah tidak berdosa lagi. Hingga kita terasa diri sudah bersih dan suci dari dosa. Rasa tenang, rasa aman dan rasa selamat dengan taubat kita itu hingga hati kita berkata-kata:
“Dah bertaubat ni, tenang rasa hati”
“Rasa hilang beban dosa”
“Dah bertaubat ni, kalau boleh rasa nak mati sekarang jugak” “Aku ini mati esok, syurga manalah agaknya”
Akibatnya, kita bertaubat dari satu dosa tetapi kita terjerumus ke dalam satu dosa lain yang lebih berat lagi. Kerana rasa tidak berdosa itu adalah satu dosa. Rasa diri bersih dan suci dari dosa itu satu mazmumah. Ini dosa batin namanya. Dosa hati. Dosa lahir tidak bahaya kerana mudah kita sedar dan kita tahu. Oleh itu tidak ada masalah untuk bertaubat. Tetapi dosa hati sangat halus dan tersembunyi. Jarang manusia sedar bila terbuat dosa hati. Jarang mereka bertaubat dari dosa-dosa batin ini. Akhirnya mereka mati membawa dosa-dosa tersebut tanpa bertaubat. Ini ghurur namanya. Ini tipuan syaitan.
Sepatutnya, lagi banyak kita bertaubat, lagi tajam sifat kehambaan yang ada pada diri kita. Setelah bertaubat, kita sepatutnya lebih takut dengan Tuhan. Lebih rasa bersalah. Lebih rasa berdosa. Lebih rasa hina. Lebih rasa cemas dan bimbang. Tetapi berlaku sebaliknya. Setelah kita bertaubat, hilang sifat-sifat hamba kita. Tumbuh pula sifat-sifat ketuanan yang dibenci Tuhan dalam hati kita. Tumbuh sifat-sifat mazmumah seperti merasakan diri tidak berdosa. Merasa diri suci dan bersih . Hilang rasa bimbang. Hilang rasa takut dan cemas. Merasa diri selamat. Merasa diri sudah layak masuk syurga. Inilah angkara tipuan syaitan.
Memang, bagi kita umat Rasulullah, bertaubat itu mudah. Tetapi tipudaya syaitan terhadap orang yang bertaubat juga sangat halus dan sukar dikesan. Berapa ramai orang yang bertaubat tetapi tidak mendapat keampunan Tuhan tetapi sebaliknya dilaknat pula oleh Tuhan . Hubungannya dengan Tuhan lebih baik sebelum dia bertaubat. Walaupun sebelum bertaubat itu dia berdosa, setidak-tidaknya dia tahu dia berdosa, dia merasa dirinya berdosa dan dia rasa bersalah dengan Tuhan. Dia takut. Dia bimbang. Dia cemas. Dia risau kalau-kalau Tuhan murka padanya. Sifat hambanya lebih tajam sebelum dia bertaubat. Rasa-rasa inilah sebenarnya yang menyebabkan Tuhan sayang dan kasihan pada hamba-hambaNya.
Apa ertinya kalau kasih sayang Tuhan ini hilang selepas kita bertaubat. Apa ertinya kalau kita menjadi angkuh dan tidak beradab dengan Tuhan setelah kita bertaubat. Apa ertinya kita bertambah jauh dari Tuhan setelah kita bertaubat. Inilah taubat palsu namanya. Kita wajib bertaubat dari taubat palsu seperti ini.
This entry was posted on 6/12/2007
and is filed under
Islam
.
You can follow any responses to this entry through
the RSS 2.0 feed.
You can leave a response,
or trackback from your own site.
0 comments:
Post a Comment